Nelayan bertarung nyawa terapung tujuh jam di laut - Utusan Malaysia

Nelayan bertarung nyawa terapung tujuh jam di laut

ABDUL Aziz Abdullah (duduk, kiri) ditemukan selamat selepas terjatuh dari bot di perairan Tanjung Sedili Kechil, Kota Tinggi, Johor. - MARITIM MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang nelayan tempatan bertarung nyawa lebih tujuh jam dengan berpaut pada pelampung di perairan Tanjung Sedili Kechil, Kota Tinggi setelah terjatuh dari bot ketika menangkap ikan, semalam.

Dalam kejadian itu, Abdul Aziz Abdullah, 57, terpaksa berpaut pada pelampung pukat selepas terjatuh kerana pitam ketika hendak menurunkan pukat secara berseorangan pada pukul 6.40 pagi.

Pengarah Maritim negeri, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, mangsa ditemukan selamat dalam keadaan terapung pada pukul 4 petang oleh nelayan tempatan di kedudukan lebih kurang 5.1 batu nautika timur Tanjung Sedili Kechil.

“Mangsa memberitahu dia turun ke laut berseorangan untuk menangkap ikan pada pukul 6.40 pagi, namun lebih kurang 9 pagi ketika hendak menurunkan pukat, dia berasa pitam kemudian terjatuh ke laut.

“Keadaan laut yang agak bergelora menyukarkan dia berenang ke bot dan hanyut mengikut arus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Nurul Hizam memaklumkan, pihaknya menerima panggilan daripada Zon Maritim Tanjung Sedili pada pukul 4.50 petang mengenai penemuan sebuah bot tanpa pengemudi oleh komuniti maritim di kedudukan 3.1 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Kechil.

”Bertindak atas aduan, sebuah bot Kilat 16 segera diatur gerak ke lokasi kejadian dan menemukan bot gentian kaca lengkap dengan peralatan menangkap ikan tanpa pengemudi.

“Aset itu terus melakukan pencarian sekitar bot ditemukan dengan dibantu tiga bot nelayan tempatan bagi mengesan mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Hizam menasihatkan komuniti nelayan termasuk nelayan agar tidak keluar ke laut berseorangan dan sentiasa mengambil langkah keselamatan sewajarnya seperti memakai jaket keselamatan selain memiliki Personal Locator Beacon (PLB).

‘Selain tugas-tugas penguatkuasaan, Maritim Malaysia sentiasa bersiap sedia dalam memberi perkhidmatan dan bantuan kecemasan kepada masyarakat atau komuniti maritim.

“Justeru, orang ramai terutama komuniti maritim yang berdepan situasi kecemasan di perairan Johor Timur supaya menghubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Sedili menerusi talian 078916595 atau talian kecemasan MERS 999 agar tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya