MUAR : Hujan berterusan selama lebih empat jam sejak petang menyebabkan lima lokasi dalam daerah ini dinaiki air.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Muar, memaklumkan lima lokasi dilaporkan terjejas adalah Parit Masjid, Kampung Parit Othman Kiri, Jalan Sungai Terap, Jalan Sungai Abong dan Pekan Bukit Pasir.
Menurut jurucakap JPBD Muar, paras air masih terkawal dan belum ada pusat pemindahan dibuka, namun mangsa terlibat diminta untuk terus berhati-hati.
“Cuaca hujan sejak pukul 1 petang hingga 4 petang ini telah mengakibatkan banjir di beberapa lokasi.
“Justeru itu agensi berkaitan akan terus memantau keadaan dan cuaca di kawasan yang bersiko dan laporan akan dikeluarkan segera dari semasa ke semasa.
“Pihak terlibat termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM) turut meninjau kawasan yang ditenggelami air di samping membaca kesan taburan hujan lebat,” katanya.
Setakat ini, bacaan Stesen Hujan di Tanjung Agas menunjukkan lokasi itu dinaiki air setinggi 31 milimeter (mm) manakala Ladang Air Manis dan Air Hitam Batu 15 masing-masing masih berada pada paras 0mm.
“Dengan musim cuaca yang tidak menentu, kami menasihatkan orang awam untuk menjaga keselamatan dan segeralah menghubungi agensi jika berlaku banjir di kawasan mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE