MPK serbu dua kilang kitar semula cemar bau - Utusan Malaysia

MPK serbu dua kilang kitar semula cemar bau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sudahlah tidak mempunyai lesen aktiviti kitar semula, berani pula melakukan pencemaran longkang dan bau.

Tindakan dua kilang barangan kitar semula melakukan pencemaran itu bagaimanapun mengundang padah apabila diserbu Majlis Perbandaran Klang (MPK) di daerah ini, kelmarin.
  
Pengarah Komunikasi Korporatnya, Norfiza Mahfiz berkata, operasi berasingan itu dilakukan pasukan khas hasil maklumat mengenai kesalahan premis berkenaan.
  
Katanya, serbuan pertama dijalankan di sebuah kilang di Telok Gong, Pelabuhan Klang pada pukul 9 pagi.

“Pasukan membuat pemantauan menyeluruh di sekitar kawasan premis tersebut.

“Siasatan mendapati kilang itu melakukan aktiviti kitar semula secara tidak sah iaitu tanpa lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT). Malah, mereka juga melakukan pencemaran longkang dan bau hasil pembuangan yang ditapis tanpa mengikut prosedur ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
  
Tambahnya, premis itu dikenakan tindakan kompaun mengikut Undang-Undang Kecil 3 Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (PTPP) (MPK) 2007 dan notis oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
 
“Kita juga melakukan serbuan di sebuah kilang di Jalan Kapar di sini kira-kira pukul 2 petang dan mengesan premis tersebut melakukan kesalahan sama.
 
“Kita mengeluarkan notis henti aktiviti serta merta kepada pemilik premis mengikut Undang-Undang Akta Kerajaan Tempatan 171,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN