JOHOR BAHRU : Dua premis yang berselindung di sebalik pusat latihan snuker dan rumah tumpangan dikesan menjalankan kegiatan perjudian mini kasino dalam operasi polis semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya membongkar kegiatan itu dalam dua serbuan di sekitar bandar ini.
Katanya, serbuan yang bermula pada pukul 12 tengah hari itu menahan 57 individu termasuk 17 wanita berusia antara 13 tahun hingga 70 tahun.
“Serbuan pertama dijalankan di Jalan Sentosa 2 ke atas sebuah premis yang berselindung di sebalik pusat latihan snuker.
“Kita melakukan serbuan selepas mendapat maklumat daripada orang awam sebelum risikan dan siasatan dijalankan sejak minggu lalu.
“Pusat perjudian ini boleh dikatakan mini kasino, premis ini baru dua hari dibuka. Tangkapan di sini seramai 24 suspek iaitu 19 lelaki dan lima wanita termasuk seorang warga Singapura,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam operasi berkenaan di Taman Sentosa di sini semalam.
Ayob Khan berkata, serbuan kedua pula dilakukan ke atas sebuah premis rumah tumpangan di Jalan Rusa yang diubah suai untuk dijadikan mini kasino.
Jelasnya, seramai 33 orang diberkas terdiri daripada 21 lelaki dewasa dan 12 wanita termasuk enam warga China dan seorang wanita Indonesia.
“Kedua-dua premis ini dilengkapi dan dikawal ketat dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kita percaya mereka beroperasi secara terancang.
“Polis juga percaya sindiket judi berkenaan sebelum ini beroperasi di tempat lain dan mereka sering mengubah lokasi untuk elak dihidu pihak berkuasa,” katanya.
Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPB) 2020. – UTUSAN ONLINE