‘Melakan Visit Melaka’ alternatif selamatkan pelancongan negeri - Utusan Malaysia

‘Melakan Visit Melaka’ alternatif selamatkan pelancongan negeri

SULAIMAN Md. Ali (kanan) menaiki beca ketika hadir melancarkan pakej pelancongan ‘Melakan Visit Melaka 2020’ di Banda Hilir, Melaka, hari ini. - UTUSAN/ RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Menyedari kekangan pengunjung luar untuk melancong ke negeri ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kerajaan negeri mengambil langkah menyelamatkan sektor pelancongan itu dengan memperkenalkan ‘Melakan Visit Melaka 2020’.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, promosi pakej pelancongan yang menyasarkan pengunjung dari negeri ini sebagai usaha menggalakkan ‘orang Melaka’ melawat tempat-tempat menarik di sekitar bandar raya bersejarah ini.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan sektor pelancongan dapat dihidupkan, sekali gus memberi pulangan langsung kepada pembangunan ekonomi negeri.

“Sektor pelancongan menyumbang kepada 48 peratus kepada ekonomi negeri dan sewajarnya diberi perhatian supaya pendapatan negeri juga tidak terjejas.

“Saya yakin ini mampu menyelamatkan sektor terbabit selain membolehkan sektor-sektor lain dapat dijalankan dengan sempurna tanpa dijejaskan dengan pelaksanaan PKPB,” katanya selepas melancarkan ‘Melakan Visit Melaka 2020’ di Banda Hilir hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Akramuddin Abd. Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka, Datuk Murad Husin dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka, Shaari Basiron.

Semalam, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob mengumumkan peluasan pelaksanaan PKPB di Kedah, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu bermula 9 November sehingga 6 Disember ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, promosi berkenaan memberikan peluang kepada orang Melaka sendiri menikmati tempat tarikan pelancongan dengan kadar diskaun sebanyak 50 peratus berbanding harga biasa yang ditawarkan.

Katanya, sebanyak 18 lokasi pelancongan ditawarkan sepanjang tempoh PKPB iaitu Melaka River Cruise, Muzium Hantu Melaka, sembilan muzium dan dua galeri di bawah Perzim, Mini Malaysia dan Asean Cultural Park, Zoo Melaka serta Rumah Terbalik Melaka.

Yang turut ditawarkan ialah pakej di Bayou Lagoon Water Park, Muzim Magic Art 3D, Monorail Melaka, Flyboard Melaka, Melaka Tropikal Fruit Farm, Taman Eko-Rimba Bukit Batu Lebah dan Bio Silver Asahan Water Theme Park.

“Di samping itu, kita memiliki Pusat Boling Antarabangsa Melaka, Kolam Air Panas Jasin, Kolam Air Panas Cerana Putih, The Shore Sky Tower dan aktiviti berbeca di Banda Hilir,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN