MELAKA: Tanda tanya seorang anak mengenai kehilangan bapanya sejak Selasa lalu terjawab apabila mayat warga emas itu ditemukan terapung di dalam sungai berdekatan Jalan 7, Taman Seri Duyong di sini, semalam.
Mayat lelaki berusia 71 tahun itu ditemukan dalam keadaan tertiarap dan tidak berpakaian oleh orang ramai yang kemudian membuat laporan polis kira-kira pukul 5 petang.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, sepasukan polis ditugaskan ke lokasi dan mayat mangsa dikeluarkan dari sungai tersebut dengan bantuan bomba yang tiba pada pukul 5.40 petang.
“Pemeriksaan polis di lokasi turut menemukan pakaian dan sepasang kasut milik si mati.
“Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka yang menjalankan siasatan awal mengesahkan tiada kecederaan fizikal yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Afzanizar berkata, hasil semakan lanjut terhadap status mangsa mendapati anaknya ada membuat laporan polis mengenai kehilangan warga emas itu pada 4 Oktober lalu.
“Anak mangsa membuat laporan pada pukul 9 malam di Balai Polis Tiang Dua memaklumkan kehilangan si mati yang tidak pulang ke rumah sejak pukul 9 malam, Selasa lepas,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN ONLINE