Masjid bekalkan kad sim, bantu murid belajar dari rumah - Utusan Malaysia

Masjid bekalkan kad sim, bantu murid belajar dari rumah

ZULKIFLI Muhamed bersama pelajar daripada golongan asnaf, fakir, anak yatim dan kurang berkemampuan yang menerima kad sim beserta akses internet percuma untuk tujuan PdP dalam talian di rumah.- UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Menyedari kesukaran dialami golongan kurang berkemampuan, Masjid Ar-Raudah Kariah Taman Rasa Sayang, Senawang dekat sini mengambil inisiatif dengan mewujudkan projek Membekal Akses Internet (MAI).

Inisiatif melalui tabung khas sumbangan orang awam itu bertujuan membantu memberi kemudahan kad sim telefon beserta akses internet percuma kepada golongan asnaf dan anak yatim untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian di rumah.

Pengerusi Masjid Ar-Raudah Kariah Taman Rasa Sayang, Zulkifli Muhamed berkata, pihaknya banyak menerima maklum balas daripada ibu bapa yang tidak mampu menyediakan akses internet kepada anak-anak untuk belajar di rumah selepas sesi persekolahan ditangguhkan akibat penularan pandemik Covid-19.

“Daripada situlah tercetus idea untuk kami melancarkan projek MAI melalui tabung khas sumbangan orang awam bagi memberi kemudahan kad sim telefon berserta akses internet percuma bernilai RM60.

“Rupanya memang ramai yang mengharapkannya. Sekarang, kalau kita tengok ramai yang memberi fokus kepada barang dapur dan barang keperluan tetapi kita tidak boleh lupa isu pembelajaran anak-anak satu perkara yang sangat penting bagi kelangsungan sebuah keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita menyampaikan sumbangan kad sim kepada anak-anak daripada golongan kurang berkemampuan di Masjid Ar-Raudah hari ini.

Menurut Zulkifli, untuk fasa pertama, projek tersebut menyasarkan bantuan kepada 200 pelajar yang terdiri daripada golongan fakir, asnaf dan anak yatim dari 13 taman perumahan di sekitar Senawang.

Sementara itu, sepasang kembar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Januari depan melahirkan rasa syukur dan menarik nafas lega dengan pemberian sumbangan tersebut.

Kedua-dua mereka iaitu Suhaili Md. Zahar dan Suhaila Md. Zahar, 17, yang mengambil aliran sains tulen di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senawang itu memberitahu, selepas ini proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian di rumah akan menjadi lebih lancar.

“Sebelum ini kemudahan internet terhad dan ‘line’ tidak kuat dan selalunya perlu minta ibu untuk tambah nilai kredit lebih kurang RM20 hingga RM30 sebulan.

“Dengan adanya bantuan kad sim beserta akses internet percuma ini, lebih mudah untuk saya belajar secara dalam talian di rumah bersama kakak dan boleh akses terus kepada link (pautan) yang diberikan oleh cikgu,” kata Suhaili.

Sementara itu, seorang lagi pelajar, Nur Aisyah Sitorus Herman, 17, memberitahu, sebelum ini dia pernah tidak hadir ke kelas dalam talian kerana tidak mempunyai data internet terutama apabila ibunya tiada di rumah.

“Alhamdulillah, simkad dengan akses internet percuma ini sangat bermanfaat dan membantu saya untuk belajar di rumah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya