Masih terdapat pegawai perubatan berstatus kontrak - Utusan Malaysia

Masih terdapat pegawai perubatan berstatus kontrak

NG KIM FONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Masih terdapat pegawai perubatan kerajaan berstatus kontrak walaupun mereka bertugas sebagai barisan hadapan lebih dua tahun.

Presiden Persatuan Doktor-Doktor Johor (PDDJ), Dr. Ng Kim Fong berkata, ketika ini graduan yang diterima kerja sebagai doktor, jururawat dan ahli farmasi perlu melalui kontrak dua tahun yang mana jika terdapat keperluan, kontrak disambung untuk tempoh sama.

Katanya, terdapat keperluan lantikan jawatan tetap yang memberi manfaat kepada sektor kesihatan bagi jangka panjang.

“Perkara ini perlu diberi perhatian kerana majoriti lantikan baharu berstatus kontrak iaitu selama dua tahun.

“Kita harap kerajaan dapat menambah jawatan tetap. Ini membantu mereka berkhidmat dengan lebih berdedikasi kerana tidak perlu bimbang dengan perjalanan karier,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.

Kim Fong berkata, pihaknya memohon kerajaan khususnya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menambah perjawatan bagi jawatan berkaitan penjagaan kesihatan di negara ini.

Beliau memberitahu, ketika ini dianggarkan lebih 3,000 petugas kesihatan khususnya doktor muda menamatkan pengajian melibatkan penuntut tempatan dan antarabangsa di sini.

Tambahnya, lantikan doktor muda ke jawatan tetap membolehkan mereka me­ningkatkan tahap perkhidmatan sehingga bergelar doktor pakar sekali gus menyumbang kepada masyarakat dalam kapasiti lebih baik.

Sementara itu, beliau memuji komitmen ditunjukkan petugas kesihatan muda seperti doktor dan jururawat yang memberi khidmat kepada masyarakat di kawasan terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Mereka sangat bersemangat dan sanggup menawarkan diri berkhidmat di kawasan terjejas. Berilah penghargaan kepada mereka dan rakan-rakan yang lain dengan menawarkan jawatan tetap sebagai jaminan masa depan,” tambahnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN