Maritim Perak usir 173 bot nelayan asing  - Utusan Malaysia

Maritim Perak usir 173 bot nelayan asing 

ANTARA bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan Pulau Jarak dekat Lumut baru-baru ini. - GAMBAR IHSAN MARITIM MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Dua Kapal Maritim (KM) iaitu KM Malawali dan KM Rawa berpangkalan di Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak mengusir 173 buah bot nelayan Indonesia (BNI) yang menceroboh perairan Pulau Jarak, dekat sini sejak 1 November lalu sehingga semalam.

 Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, pada 9 November lalu, KM Malawali mengusir sembilan BNI  disusuli pengusiran 127 BNI pada  jarak  23.6 sehingga 25.7 batu nautika barat laut Pulau Jarak pada 16 hingga 20 November.

Menurut beliau, KM Rawa pula  mengusir 37 BNI  di kedudukan 28.8 batu nautika barat laut Pulau Jarak semalam.

“Pemeriksaan mendapati kesemua bot yang diusir membawa lima hingga lapan kru termasuk tekong beserta peralatan menangkap ikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 Kata beliau, sebelum  November, maritim Perak mengusir lebih 100 BNI yang menjadikan jumlah keseluruhan pengusiran BNI bermula pada 18 Mac sehingga semalam ialah 363 BNI.  

Beliau berkata, kesemua bot-bot diusir selepas dikesan menceroboh dan menangkap ikan di perairan Perak. 

 “Pada masa ini tindakan pengusiran bot nelayan asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk menyekat penyebaran wabak Covid-19 menerusi warga asing serta membantu Kementerian Kesihatan menurunkan graf kebolehjangkitan wabak dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya. 

 Mohd. Zubil berkata, pihaknya menghubungi rakan sejawatan di Indonesia dan Konsul Besar Indonesia di Pulau Pinang bagi mendapatkan kerjasama agensi negara jiran itu supaya  isu pencerobohan  ke perairan Malaysia dapat ditangani bersama. 

 “Aset-aset maritim seperti kapal, bot pemintas, pesawat udara dan radar akan terus mengawasi ketat sempadan perairan negara dengan meningkatkan rondaan, penguatkuasaan serta pengutipan maklumat perisikan,” katanya.

Menurutnya, maritim akan terus bekerjasama  dengan pelbagai agensi pengua kuasa terutamanya agensi-agensi diberi mandat untuk memerangi kemasukan PATI di bawah National Task Force sejak wabak Covid 19 melanda negara ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya