Maqis Selangor rampas 417 kilogram tanduk biri-biri - Utusan Malaysia

Maqis Selangor rampas 417 kilogram tanduk biri-biri

SEBAHAGIAN tanduk biri-biri yang dirampas Maqis Selangor di Pelabuhan Klang Utara, Selangor, Jumaat lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELABUHAN KLANG: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) negeri menumpaskan cubaan membawa masuk tanduk biri-biri yang diimport dari Afrika Selatan di Pelabuhan Klang Utara, di sini, Jumaat lalu.

Dalam serbuan kira-kira pukul 10.30 pagi itu, sebanyak 417 kilogram tanduk biri-biri dianggarkan RM19,544.57 dirampas.

Pengarah Maqis negeri, Dr. Tarmisal Alimin berkata, semasa menjalankan pemeriksaan rutin terhadap sebuah kontena dari negara tersebut, pihaknya menemukan sebanyak 417 kilogram tanduk biri-biri dari Afrika Selatan di dalam kotak.

“Hasil pemeriksaan mendapati tanduk biri-biri yang diimport oleh sebuah syarikat tempatan ini tidak mempunyai permit import Maqis yang sah.

“Kita percaya tanduk biri-biri ini adalah untuk kraftangan dan dijual untuk pasaran tempatan. Setiap tanduk biri-biri ini dijual antara harga RM50 hingga RM100,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr. Tarmisal berkata, perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit import yang sah daripada Jabatan Maqis adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.

“Risiko kemasukan hasilan haiwan tanpa permit dan sijil kesihatan verterinar boleh memberi kesan kepada industri ternakan haiwan ruminan daripada segi jangkitan penyakit seperti kuku dan mulut, rinderpest, Anthrax atau lain-lain penyakit yang berbahaya kepada industri ternakan.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali. Kesemua dagangan tersebut telah ditahan untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN