KUALA SELANGOR: Jumlah mangsa banjir di sekitar daerah ini mencatatkan penurunan daripada 116 orang kepada 90 orang setakat pukul 11 pagi tadi.
Penurunan itu berikutan pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfields yang menempatkan 26 mangsa ditutup pukul 5 petang semalam.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Selangor, Kapten (PA) Shaiful Azril Zainal berkata, baki 90 mangsa masih ditempatkan di dua PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang dan SK Ijok.
“Jumlah ini melibatkan 38 penduduk daripada sembilan keluarga di Kampung Parit Mahang yang berada di PPS SK Ijok.
“Seramai 52 mangsa pula adalah penghuni Rumah Orang Tua Jasheria, Jalan Haji Ehsan yang ditempatkan di PPS SK Parit Mahang.
“Semua mangsa banjir turut melibatkan seramai 19 warga emas, 11 kanak-kanak dan dua bayi perempuan. Selain itu, mangsa terdiri daripada lima orang kurang upaya (OKU) termasuk masing-masing seorang remaja autism dan sindrom down,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Tambah Shaiful Azril, buat masa ini, hasil pemantauan pihaknya mendapati air di lokasi banjir masih berada pada paras statik.
“Kebanyakan kawasan rumah mangsa masih dinaiki air di bawah paras 0.3 meter.
“Mereka belum dibenarkan pulang atas faktor keselamatan dan cuaca yang tidak menentu,” katanya. – UTUSAN ONLINE