Mahu pinjam RM20,000, hangus RM33,760 - Utusan Malaysia

Mahu pinjam RM20,000, hangus RM33,760

MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Seorang peladang kerugian RM33,760 selepas ditipu ah long dalam urusan memohon pinjaman RM20,000 di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, lelaki berusia 33 tahun tersebut memohon pinjaman selepas melihat iklan di laman sosial Facebook.

“Mangsa tertarik dengan tawaran pinjaman wang berlesen diiklankan syarikat beralamat di Setapak, Kuala Lumpur dan menghubungi suspek menerusi aplikasi WhatsApp.

“Pada 1 November lalu, suspek memaklumkan pinjaman tersebut lulus dengan bayaran secara ansuran RM417 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Wazir, suspek kemudian meminta mangsa membayar pelbagai yuran proses serta bayaran-bayaran lain sebelum wang pinjaman tersebut dapat dikreditkan ke akaun banknya.

Katanya, mangsa melakukan 11 transaksi pindahan wang ke akaun berlainan milik individu berbeza dalam tempoh antara 2 November hingga 5 November lalu.

“Setelah memasukkan semua wang diminta, mangsa masih dihubungi suspek melalui WhatsApp dan diarahkan membayar pelbagai yuran proses lain.

“Mangsa mula curiga kerana masih diminta membayar duit proses tetapi belum menerima wang pinjaman walau telah membuat pelbagai bayaran,” katanya.

Lelaki tersebut tampil membuat laporan di Balai Polis Kuala Lipis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN