IPOH: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menunggang motosikal di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan kepada seorang anggota polis, Selasa lalu.
Tertuduh, Nor Azman Mat Salleh, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Umzarul An Nur Umar.
Mengikut pertuduhan, penganggur itu didakwa menunggang motosikal di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya dan mengakibatkan kecederaan kepada Koperal Mohd. Aizal Md. Lazim di Jalan Silibin di Ipoh pada pukul 11.15 pagi, 24 November lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 44 (1A) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda tidak kurang RM30,000 dan tidak melebihi RM50,000 dan penjara selama tempoh tidak kurang tujuh tahun dan tidak lebih 10 tahun jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Izzati Mazlan menawarkan jaminan RM10,000 namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan dengan alasan isterinya sedang hamil.
Mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin serta lesen memandu digantung sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 14 Januari ini untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.
Dalam kejadian Selasa lalu, Mohd. Aizal dari Cawangan Penguatkuasaan Trafik, Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dilanggar seorang penunggang motosikal yang cuba meloloskan diri dari sekatan jalan raya (SJR).
Rempuhan motosikal dari arah belakang itu menyebabkan mangsa melambung sebelum terjatuh dan terseret sejauh lebih lima meter di atas jalan.
Pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa cedera di kepala, muka, tangan dan badan. – UTUSAN ONLINE