IPOH: Seorang lelaki cedera di bahagian tangan selepas ditetak dua lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di Buntong, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian itu pada pukul 2.09 petang yang pada awalnya memaklumkan berlaku kes samun.
Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut.
“Pegawai penyiasat ke tempat kejadian bersama anggota Jabatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak untuk siasatan.
“Mangsa yang cedera pada tangan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan,” katanya di sini hari ini.
Difahamkan, sebelum diserang, mangsa berusia 44 tahun itu cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran suspek namun gagal apabila dia terjatuh.
Suspek yang bersenjata parang dan memakai penutup kepala itu beredar dari lokasi kejadian selepas menyerang mangsa dengan menaiki kereta. – UTUSAN ONLINE