IPOH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerima baik gesaan DAP agar Barisan Nasional (BN) tidak ditandingi jika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik diadakan.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pandangan DAP itu boleh diterima dalam keadaan kes Covid-19 yang semakin meningkat di negeri ini.
“Saya fikir ia satu pandangan yang boleh diterima, dalam keadaan ‘kita jaga kita’, kita juga cuba elak berlakunya pilihan raya.
“Kempen pilihan raya boleh mengakibatkan penularan pandemik Covid-19. Ini yang nak kita hentikan sebab kes-kes semakin meningkat, jadi perhatian harus diberikan ke arah menghentikannya,” katanya selepas melancarkan Inisiatif Rakan Niaga Telco antara kerajaan negeri dengan kerjasama redONE Network Sdn. Bhd., di sini hari ini.
Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar berkata, malah DAP yang mengutarakan cadangan itu sepatutnya tidak bertanding langsung jika PRK Parlimen Gerik diadakan.
“Walaupun negara kita mengamalkan demokrasi namun dalam keadaan sekarang, elok jika tidak berlaku PRK,” katanya.
Semalam, susulan kematian Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa semua parti politik supaya mengelak meletak calon dan memberikan kemenangan tanpa bertanding kepada UMNO.
Menurut Guan Eng, ini bagi mengekang risiko penularan wabak Covid-19 semasa kempen PRK. – UTUSAN ONLINE