Langgar kuarantin:  Amirudin disiasat polis  - Utusan Malaysia

Langgar kuarantin:  Amirudin disiasat polis 

AMIRUDDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pejabat Menteri Besar Selangor mengesahkan menerima kertas siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap Datuk Seri Amirudin Shari berhubung melanggar perintah kuarantin  Kementerian Kesihatan (KKM).

Setiausaha Sulit Menteri Besar Selangor, Saifudin Shafi Muhammad berkata, siasatan itu mengikut Seksyen 15 dan 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Menurut beliau, walaupun siasatan baharu bermula namun pihaknya menegaskan, Amirudin tidak melanggar perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) seperti didakwa. 

“Amirudin pulang dari Sabah pada 28 September dan terus menjalani saringan Covid-19 menggunakan kaedah RT-PCR di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dan keputusan didapati negatif pada keesokan harinya. 

“Mengikut direktif kerajaan Persekutuan, kuarantin tidak perlu dijalankan untuk individu yang dikesan negatif saringan ujian RT-PCR sesuai dengan kenyataan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 September 2020 bahawa individu yang pulang dari Sabah tidak perlu menjalani kuarantin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Katanya lagi,  Amirudin mempunyai surat pelepasan HSO ekoran keputusan ujian tersebut namun atas prinsip tanggungjawab, Menteri Besar Selangor itu tetap menjalankan kuarantin kendiri sebagai langkah berhati-hati dengan melebihi syarat  ditetapkan KKM.

“Ini susulan kes pencemaran dikesan di muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Semenyih yang berasal dari pencemaran Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan pada 4 Oktober lalu beliau terpaksa menanganinya.

“Malah atas prinsip akauntabiliti, Amirudin  telah memaklumkan tindakan tersebut kepada orang awam melalui media sosial beliau pada hari yang sama,” jelasnya. 

Sehubungan itu, Saifudin menegaskan mengikut fakta dan undang-undang disyorkan kerajaan Persekutuan adalah wajar difahami Amirudin tidak melanggar sebarang bentuk HSO kerana surat pelepasan selepas ujian negatif telah diberikan pada 29 September lalu. 

“Tiga ujian swab test RT-PCR telah pun dijalankan dalam tempoh 14 hari bermula 28 September diikuti 4 Oktober dan 9 Oktober lalu dan kesemuanya negatif. 

“Oleh demikian, Amirudin adalah mengambil langkah berhati-hati sebagai tambahan kepada prosedur operasi standard (SOP) KKM,” katanya. 

Dalam perkembangan sama, Saifudin berkata, perkara sebegini tidak wajar dipolemikkan secara berlebihan sehingga menambah beban kerja PDRM terutama dalam keadaan ribuan anggotanya  terpaksa menjalani kuarantin rentetan gelombang ketiga pandemik Covid-19.

Terdahulu, Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya akan memanggil Amirudin dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu yang didakwa ingkar kuarantin pada 5 Oktober lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN