PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menawarkan Pakej Pelan Data dan Peranti Kepada Institut Pendidikan Tinggi (IPT) memudahkan proses pengajaran dan pembelajan (PdP) dalam talian.
Menterinya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, tawaran tersebut adalah untuk kepentingan dan keperluan kaedah PdP norma baharu membabitkan ratusan ribu pelajar.
“Saya berharap bantuan pakej tersebut akan memberikan persekitaran pembelajaran yang kondusif serta seimbang melalui pendekatan PdP secara dalam talian,” kata beliau ketika melancarkan Pakej Pelan Data dan Peranti Kepada Pelajar IPT secara maya di Facebook rasmi KPT semalam.
Turut serta timbalan beliau, Datuk Dr. Mansor Othman; Ketua Setiausaha KPT, Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak serta naib-naib canselor IPT di seluruh negara.
Mengulas lanjut, Noraini berkata, kementerian akan menyalurkan bantuan tunai RM50 kepada 76,153 pelajar baharu melibatkan peruntukan keseluruhan RM3.8 juta bagi memudahkan pelajar mengikuti PdP secara dalam talian.
“Peruntukan ini sebenarnya datang daripada penjimatan perbelanjaan geran pengurusan KPT susulan Covid-19 dan kami percaya ia wajar disalurkan untuk manfaat pelajar,” jelasnya.
Selain itu, kata Noraini, kementerian juga akan menyalurkan bantuan Pelan Data kepada 320,396 pelajar dalam keluarga golongan B40 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM24 juta.
“Ini meliputi 225,784 unit kad SIM yang akan diagihkan kepada pelajar dengan kerjasama syarikat telekomunikasi, manakala baki berikutnya menerima tunai bagi beli pelan data,” ujarnya.
Tambah beliau, sebanyak 8,965 unit komputer riba turut disediakan khusus kepada pelajar di bawah kategori B40 secara bersasar dan bakal membabitkan perbelanjaan bernilai RM13 juta.
“Daripada jumlah ini, seramai 5,965 orang menerima bantuan komputer riba percuma manakala bakinya bantuan dalam bentuk pemberian tunai bagi tujuan yang sama,” kata Noraini. – UTUSAN