KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara (KPN) dan tiga lagi diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini untuk memfailkan pembelaan masing-masing berhubung kes saman guru tadika, M. Indira Gandhi.
Peguam, Rajesh Nagarajan yang mewakili wanita itu ketika dihubungi berkata, perkara tersebut dimaklumkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Idamasliza Maarof sewaktu pengurusan kes secara e-review hari ini.
“Plaintif (Indira) pula diarah memfailkan balasan terhadap penyataan pembelaan sebelum atau pada 16 Disember ini. Pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 30 Disember ini,” katanya.
Pada 28 Oktober lalu, Indira Gandhi memfailkan saman tersebut terhadap KPN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia atas dakwaan kesemua defendan itu enggan mematuhi perintah-perintah untuk menahan bekas suaminya, K. Patmanathan atau Muhammad Riduan Abdullah dan memulangkan anak perempuannya, P. Prasana Diksa yang dikatakan dilarikan lelaki berkenaan.
Menurut penyataan tuntutan yang difailkan, Indira memberitahu pada 29 April 2016, Mahkamah Persekutuan, Putrajaya mengekalkan perintah mandamus (memaksa) KPN untuk mematuhi dan melaksanakan perintah komital dan pengembalian semula kanak-kanak terbabit.
Bagaimanapun, sehingga hari ini KPN masih gagal atau enggan melaksanakan perintah-perintah tersebut walaupun mengetahui keberadaan bekas suaminya dan anak perempuannya itu.
Oleh itu, plaintif mendakwa defendan pertama mempunyai niat jahat dan sengaja tidak mengambil tindakan (tort of nonfeasance) untuk menangkap Muhammad Riduan dan mengembalikan Prasana Diksa kepadanya dan PDRM, KDN dan Kerajaan Malaysia didakwa bertanggungjawab atas keengganan defendan pertama itu.
Sehubungan itu, Indira Gandhi memohon deklarasi bahawa KPN telah melakukan tort of nonfeasance dan defendan kedua hingga keempat bertanggungjawab atas tindakan defendan pertama.
Turut dimohon ialah ganti rugi am, teruk dan teladan yang akan ditaksirkan serta kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah. – UTUSAN ONLINE