Kontraktor rugi lebih RM100,000 ditipu scammer - Utusan Malaysia

Kontraktor rugi lebih RM100,000 ditipu scammer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Seorang kontraktor kerugian lebih RM100,000 selepas dipedaya sindiket macau scam yang mendakwa dia mempunyai tunggakan kad kredit dan terlibat dalam kegiatan jenayah tidak wujud.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi semalam, mangsa berusia 45 tahun dipedaya selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki menyamar sebagai pegawai bank dan wanita yang mendakwa pegawai polis.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisionar Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenal dirinya sebagai Mr. Lai yang juga pegawai Bank Negara ketika berada di rumah ibunya di Kampung Baru Chenderong, dekat sini.

“Suspek memberitahu mangsa ada penggunaan kad kredit Ambank atas namanya berjumlah RM11,188.35 untuk pembelian barangan menerusi Lazada.

“Mangsa bagaimanapun menafikan perkara itu dan memaklumkan dia tidak pernah menggunakan kad kredit Ambank. Suspek menyambung panggilan ke ‘Bukit Aman’ dan pengadu bercakap dengan seorang ‘pegawai wanita’ yang mengaku sebagai Than Kok Hwa.

“Mangsa kemudian memberikan butiran dirinya kepada wanita itu untuk membuat semakan dan dimaklumkan bahawa akaun kad kreditnya disalah guna serta dikehendaki hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, ” katanya di sini hari ini.

Ahmad Adnan berkata, suspek turut bertanyakan akaun bank yang dimiliki mangsa dan dia memaklumkan mempunyai akaun di Ambank dan Hong Leong Bank.

Katanya, mangsa diminta ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Hong Leong Bank dan Ambank cawangan Gajah serta mengikut arahan diberikan bagi memeriksa akaunnya.

Selain itu, katanya, suspek memaklumkan bahawa akaun mangsa dilindungi oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM).

Beliau berkata, selepas selesai mengikuti arahan suspek, mangsa mendapati wang daripada akaun Hong Leong Bank dan Ambank berkurangan sebanyak RM107,996.95.

“Suspek memberitahu dia telah selesai membuat semakan dan membekukan akaun mangsa serta akan menghubunginya semula.

“Mangsa yang curiga dan berasa ditipu membuat laporan di Balai Polis Batu Gajah petang semalam,” katanya.

Beliau berkata, polis sedang mengenal pasti kedua-dua suspek dan siasatan lanjut kini sedang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu pejabat Polis Daerah Batu Gajah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya