Kongsi, sebar kandungan lucah kesalahan tertinggi direkod  SKMM - Utusan Malaysia

Kongsi, sebar kandungan lucah kesalahan tertinggi direkod  SKMM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Berkongsi dan menyebarkan kandungan lucah dalam media sosial merupakan kesalahan tertinggi direkodkan Suruhanjaya Komunikasi dan  Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tempoh Januari hingga September lalu.

Sepanjang tempoh itu, sebanyak 22 pertuduhan bagi kesalahan tersebut difailkan di mahkamah daripada 48 pertuduhan lain melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan  Multimedia (AKM) 1998.

Menurut SKMM, angka tersebut meningkat 66 peratus berbanding tahun 2019. 

Jelasnya, antara pertuduhan lain melibatkan penyalahgunaan media sosial ialah sembilan pertuduhan melibatkan kandungan jelik dan tiga pertuduhan bagi kandungan palsu.

“Sebanyak 14 pertuduhan lagi adalah kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 seperti diputuskan Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara berpandukan kepada hasil keterangan diperoleh,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, SKMM berkata, kesalahan melalui aplikasi Facebook dan Twitter adalah tertinggi direkodkan iaitu sebanyak 14 pertuduhan, selain WhatsApp (13 pertuduhan), manakala Instagram dan blog masing-masing satu pertuduhan.

SKMM menjelaskan, sebanyak 178 Laporan Maklumat  Pertama (FIR) berkaitan kesalahan  penyalahgunaan media sosial bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding hanya 139 diterima bagi tempoh sama tahun lalu. 

“Sebarang perkongsian atau penyebaran kandungan palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 AKM 1998.  Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi  RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. 

Tambah SKMM, peningkatan bilangan pertuduhan di mahkamah menunjukkan ketegasan Suruhanjaya itu dalam menangani penyalahgunaan media sosial yang masih berleluasa dalam kalangan rakyat. 

Pada masa sama, katanya, tindakan berkenaan bertujuan memastikan persekitaran internet selamat dan terjamin. 

“Orang awam diminta tampil membantu pihak  berkuasa dalam menangani salah guna media sosial seperti penyebaran  berita-berita palsu dengan membuat aduan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau SKMM melalui e-mel aduan iaitu [email protected],  WhatsApp di talian 016-220 6262 ataupun Portal Aduan MCMC pada  pautan https://aduan.skmm.gov.my/,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN