KUALA LUMPUR: Industri hiburan hari ini kehilangan seorang komposer berbakat iaitu Hamdan Atan, 71, atau dikenali sebagai A. Ali yang menghembuskan nafas terakhir ketika tidur.
Memaklumkan perkara tersebut, anak ketiganya, Nur Huda Hamdan berkata ibunya, Latifah Khamis menyedari bapanya meninggal dunia selepas jasad kaku sekitar pukul 8 pagi tadi.
“Assalamualaikum. Saya anak kepada En Hamdan B Atan @ A. Ali, dengan ini memberitahu perkara mendukacitakan. Ayah saya telah kembali kerahmatullah pagi tadi dalam keadaan tidur.
“Jenazah sekarang berada di Hospital Kajang untuk urusan bawa balik ke rumah,” katanya menerusi sebaran Whatsapp oleh anaknya.
Difahamkan, A. Ali tidak menghidap sebarang penyakit kronik.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, sembilan anak serta 10 cucu.
A Ali pernah menganggotai kumpulan Kembara bersama Datuk M. Nasir dan S. Sahlan pada awal tahun 1980-an dan banyak menghasilkan lagu untuk kumpulan itu serta beberapa penyanyi hebat tanah air. – UTUSAN ONLINE