Ketua geng Ah San ditahan cuba rentas negeri - Utusan Malaysia

Ketua geng Ah San ditahan cuba rentas negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Seorang lelaki disyaki ketua Geng Ah San yang giat menjalankan kegiatan pecah rumah, curi sarang burung walet dan samun jalanan di daerah ini ditahan di Jalan Junjung di sini semalam.

Suspek berusia 42 tahun ditahan pukul 9 pagi, ketika memandu kereta seorang diri  dari arah Seberang Perai Selatan menghala Kulim. 

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Azhar Hashim berkata, lelaki terbabit ditahan di sekatan jalan raya (SJR) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana tiada dokumen kebenaran rentas negeri.

“Anggota polis kemudian menyemak kad pengenalan lelaki  terbabit dan mendapati dia individu dikehendaki polis berhubung kes pecah rumah.

“Suspek seterusnya ditahan dan pemeriksaan menemui enam paket plastik lut sinar dipercayai mengandungi syabu seberat 11.66 gram di dalam kereta berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim di sini hari ini.

Kata beliau, polis turut menemui dua bilah parang panjang, sebatang pemotong besi, pemutar skru dan sebatang allen key yang dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah.

Menurut Azhar, suspek yang positif syabu mempunyai 22 rekod jenayah berkaitan kes pecah rumah dan dadah.

“Polis percaya suspek adalah ketua Geng Ah San yang bergiat aktif dalam 20 kes pecah rumah dan curi sarang burung sejak awal tahun ini.

“Kita pernah menahan seorang ahli kumpulan itu berusia 23 tahun pada 30 Mac lalu dan polis sedang memburu dua lagi ahli kumpulan tersebut yang dipercayai berada sekitar Pulau Pinang,” katanya.

Tambahnya, ketua geng itu direman bermula hari ini hingga 16 November ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya