DUNGUN: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menawarkan kursus jangka pendek penyeliaan dan operasi ladang kelapa sawit secara percuma kepada belia berusia antara 17 tahun hingga 35 tahun.
Pengerusinya, Datuk Razali Idris berkata, pelaksanaan kursus itu bertujuan melahirkan generasi berkemahiran tinggi dalam bidang penyeliaan dan operasi ladang kelapa sawit selain mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga asing.
Katanya, kursus yang dikendalikan Pusat Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) Kolej Ketengah dengan kerjasama Ketengah Holding Sdn. Bhd. (KHSB) itu turut diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Sistem Latihan Dual Nasional.
“Kursus selama tiga bulan itu membabitkan latihan teori selama tiga minggu di Kolej Ketengah manakala baki sembilan minggu lagi adalah latihan praktikal di ladang kelapa sawit milik Ketengah KHSB.
“Yuran pengajian dan penginapan adalah percuma sepanjang kursus termasuk semasa mengikuti kelas teori di samping turut menerima wang saku sebanyak RM300 setiap bulan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini .
Razali berkata, pelatih ditawarkan pekerjaan selama dua tahun di ladang kelapa sawit dengan gaji sebanyak RM2,000 sebulan bergantung kepada produktiviti.
Katanya, kursus terbuka kepada semua warganegara Malaysia dengan keutamaan kepada penduduk di wilayah Ketengah
“Syarat kursus ialah tamat Tingkatan Tiga dengan lulus Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan sekiranya tidak lulus peperiksaan itu, pemohon mestilah mempunyai pengalaman kerja di sektor perladangan kelapa sawit selama setahun serta boleh membaca dan menulis,” katanya.
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di www.kolejketengah.edu.my atau menghubungi Kolej Ketengah di talian 011-62548080. – UTUSAN ONLINE