Kepayahan dua penuntut dapatkan capaian internet tarik perhatian Sanusi - Utusan Malaysia

Kepayahan dua penuntut dapatkan capaian internet tarik perhatian Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kesukaran dihadapi dua penuntut universiti yang terpaksa memanjat pokok rambutan bagi mendapatkan capaian internet semata-mata untuk mengikuti kelas dalam talian di Kampung Tembak B, Baling menarik perhatian Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor.

Muhammad Sanusi mengakui berasa sedih dengan apa yang berlaku dan memohon maaf di atas kesukaran yang terpaksa dihadapi dua mahasiswa itu, Mohammad Saiful Izwan Mohamad Hilmi, 21, dan Muhamad Fairul Ezuan Saidi, 21.

Katanya, kepayahan seperti itu adalah antara sebab mengapa beliau awal-awal lagi sudah membuat permohonan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memperbanyak menara telekomunikasi di negeri ini.

“Kita dah berunding dengan SKMM beberapa kali dan memohon supaya dibina kira-kira 200 menara telekomunikasi baharu di Kedah.

“Ketika ini kita berdepan masalah kerana syarikat telekomunikasi (Telco) terlalu menumpukan kawasan bandar yang dikatakan lebih banyak permintaan sekali gus mendatangkan keuntungan buat mereka.

“Kita minta SKMM susun perkara ini supaya seluruh Kedah dapat liputan saksama. Saya fikir apa yang berlaku terhadap mahasiswa ini wajar menjadi perhatian SKMM dalam membuat pertimbangan dan insy- Allah, permintaan kerajaan negeri itu akan dipenuhi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas berakhir sidang Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Utusan Malaysia melaporkan kepayahan dilalui dua mahasiswa tersebut di Kampung Tembak B, Kuala Ketil yang terpaksa memanjat pokok setinggi kira-kira lapan meter bagi memasang router WiFi untuk mendapatkan capaian internet lebih baik.

Sebelum ini mereka mendakwa turut pernah cuba memasang router di atas bukit serta kandang kambing namun masih gagal mendapatkan capaian yang baik.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri ketika ini sememangnya menetapkan dasar untuk memperluas capaian internet di seluruh negeri.

“Kita faham, SKMM sendiri pun mungkin ada kekangan, namun saya dimaklumkan mereka memiliki dana disumbangkan Telco untuk kegunaan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Mungkin dana itu boleh digunakan untuk membina menara terutama di kawasan luar bandar.

“Saya percaya, permintaan yang dikatakan rendah di kawasan luar bandar ini hanya disebabkan kita tidak memiliki menara tetapi sekiranya kemudahan itu wujud nanti, sudah pasti ramai yang menggunakannya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

habis…

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN