Kanak-kanak maut dicampak dari tingkat 4 - Utusan Malaysia

Kanak-kanak maut dicampak dari tingkat 4

SUSPEK yang cedera ditahan berhampiran kanak-kanak yang dicampaknya dari tingkat empat di apartment di Danau Kota, Kuala Lumpur hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak berusia empat tahun maut dipercayai dicampak dari tingkat empat oleh ahli keluarganya yang merupakan warga Nigeria di apartment di Danau Kota, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, ibu kanak-kanak terbabit yang berusia 24 tahun dikatakan turut cuba dirogol lelaki berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata, siasatan awal mendapati, suspek berusia 42 tahun dikatakan cuba merogol anak tirinya yang sedang tidur di ruang tamu namun dihalang oleh isteri dan anak-anak yang lain.

Katanya, dua lagi anak tirinya berusia 19 tahun hingga 29 tahun itu cuba menghalang perbuatan suspek menyebabkan lelaki itu berang lalu mengamuk dan memukul serta menghentak kesemua mangsa yang ada di dalam rumah berkenaan.

“Disebabkan kejadian itu, isteri dan anak-anak suspek cuba menyelamatkan diri dan keluar dari rumah untuk dapatkan bantuan jiran serta pengawal keselamatan.

“Namun suspek yang melihat mangsa menjerit dan meminta tolong mengangkat kanak-kanak itu dan membawanya ke tingkap luar bilik utama sebelum mencampaknya,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Ros Azhan memberitahu, suspek melompat keluar melalui tingkap yang sama.

“Bagaimanapun, suspek yang cedera tidak dapat melarikan diri dan ditangkap pengawal keselamatan serta orang awam sebelum diserahkan kepada polis.

“Suspek dan mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan sebelum ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN