Kakitangan awam di Kedah dapat bantuan khas RM1,000 seorang - Utusan Malaysia

Kakitangan awam di Kedah dapat bantuan khas RM1,000 seorang

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah bersetuju memberi bantuan khas kewangan berjumlah RM1,000 seorang kepada semua penjawat awam dan anggota pentadbiran negeri pada Disember ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, bantuan khas bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan kakitangan awam itu melibatkan peruntukan sebanyak RM5.6 juta.

“Kerajaan negeri mengakui kakitangan awam negeri komited melaksanakan semua dasar dan arahan kerajaan seperti menguruskan Pusat Kawalan Operasi Bencana ketika pandemik Covid-19,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2021 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Jumlah penjawat awam di negeri ini dianggarkan seramai 5,000 orang.

Selain itu, Muhammad Sanusi memberitahu, kerajaan negeri juga bersetuju memberi sumbangan secara sekali gus sebanyak RM200 kepada petugas barisan hadapan daripada Jabatan Kesihatan Negeri pada akhir tahun ini.

“Kerajaan negeri merakam penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang terus bekerja tanpa henti bagi mengekang penularan Covid-19,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan negeri turut menghulurkan sumbangan bantuan barangan keperluan asas kepada setiap keluarga yang terlibat, bantuan peralatan hospital dan bantuan bakul makanan kepada petugas barisan hadapan.

“Kesemua bantuan ini menelan belanja sebanyak RM21.75 juta,” katanya.

Selain itu, tambahnya, pertubuhan bukan kerajaan, syarikat korporat dan individu turut membantu golongan yang terkesan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN