PUTRAJAYA: Seorang lagi bekas pegawai syarikat telekomunikasi ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) empat hari berhubung kes rasuah melibatkan sindiket penipuan khdimat pesanan ringkas (SMS).
Penahanan itu menjadikan keseluruhan 13 individu ditahan suruhanjaya berkenaan bagi kes sama untuk membantu siasatan.
Menurut sumber, suspek berusia 45 tahun tersebut ditahan di Ibu Pejabat SPRM di sini kira-kira pukul 10.30 malam semalam selepas hadir memberi keterangan.
Katanya, individu tersebut adalah bekas pegawai syarikat telekomunikasi yang dipercayai memberi dan menerima wang rasuah bagi tujuan mendapatkan maklumat data peribadi pelanggan menggunakan pelan prabayar.
Tambah sumber, nombor telefon yang diperole digunakan sindiket penipuan ‘content provider’ dengan mengenakan bayaran langganan menerusi SMS tanpa pengetahuan dan persetujuan pengguna.
Terdahulu, individu berkenaan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini untuk mendapatkan perintah reman tersebut..
Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman sehingga 19 November ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – UTUSAN ONLINE