PUTRAJAYA: Enam individu yang ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu dan Jumaat lalu kerana disyaki terlibat kes rasuah melibatkan sindiket penipuan khidmat pesanan ringkas (SMS) disambung reman hari ini.
Perintah sambung reman dikeluarkan Majistret Nur Aisyah Mohd. Yusof di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini.
Empat daripada enam individu tersebut disambung reman dua hari manakala dua lagi termasuk seorang wanita disambung reman sehari.
Sementara itu, seorang individu yang ditahan reman sebelum ini dibebaskan dengan jaminan RM3,000 dan seorang penjamin. Individu tersebut perlu melapor diri di Pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai.
Menurut sumber, enam yang disambung reman berusia 39 tahun hingga 49 tahun itu membabitkan pengarah syarikat, pekerja syarikat swasta dan pegawai syarikat telekomunikasi.
Mereka dipercayai memberi dan menerima wang rasuah untuk tujuan mendapatkan maklumat data peribadi pelanggan menggunakan pelan prabayar.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, sebahagian tahanan itu dikatakan menerima suapan lebih RM200,000 selain menerima pelbagai beg berjenama sebagai balasan.
Tangkapan itu sekali gus menjadikan keseluruhan penahanan reman bagi membantu siasatan kes terbabit seramai 12 individu.
Kata sumber, wang tunai yang diperoleh melalui akaun proaksi selain ada juga diberikan terus ke akuan bank individu terbabit.
“Siasatan SPRM mendapati, selain membekalkan data pelanggan telekomunikasi kepada sindiket penipuan SMS dan perjudian dalam talian, maklumat pelanggan itu juga turut dipercayai tersebar di luar negara.
“Jadi, tidak mustahil, data-data pelanggan telekomunikasi ini disalahgunakan oleh pelbagai aktiviti jenayah,” katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – UTUSAN