JPJ minta orang ramai hantar aduan lengkap - Utusan Malaysia

JPJ minta orang ramai hantar aduan lengkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Hanya 50 peratus daripada aduan orang awam kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor berhubung kesalahan jalan raya diteruskan dengan proses undang-undang.

Pemangku Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan berkata, perkara itu kerana kebanyakan aduan yang diterima tidak memaparkan maklumat secara jelas.

Menurut beliau, antara maklumat diperlukan termasuklah nombor pendaftaran kenderaan dan jenis kesalahan dilakukan.

“Kita menerima banyak aduan orang awam, termasuk gambar foto dan rakaman video yang tidak jelas. Keadaan itu menyukarkan kita untuk mengambil tindakan lanjut.

“Sebagai contoh, kesalahan memotong laluan kiri, kita perlukan bukti kenderaan yang dipotong, jadi dalam situasi ini rakaman video adalah lebih baik,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JPJ Johor di sini hari ini.

Katanya, bukti kurang lengkap menyukarkan pihaknya mengambil tindakan undang-undang.

“Oleh demikian, orang ramai diminta untuk membuat aduan dengan membekalkan maklumat diperlukan,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan JPJ negeri kini memiliki 11 unit kamera Go Pro, lapan unit ‘dashcam’ dan kamera DSLR untuk melakukan penguatkuasaan secara digital.

“Kamera Go Pro dilengkapkan di topi keledar Unit Penguat Kuasa Bermotosikal (UPB) JPJ, manakala ‘dashcam’ dipasang di dalam kenderaan penguat kuasa.

“Penggunaan teknologi digital membantu pegawai dan anggota dalam menjalankan penguatkuasaan  24 jam, ia juga bersesuaian dengan norma baharu akibat pandemik Covid-19 ketika ini.

“Anggota yang tidak bertugas boleh merakam kesalahan dan diproses untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya