Johor terima 140 aduan pencemaran sungai - Utusan Malaysia

Johor terima 140 aduan pencemaran sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor merekodkan 140 aduan berkaitan pencemaran sungai di negeri ini sepanjang tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, antara aduan yang diterima adalah berkaitan pembuangan sampah sarap domestik, aktiviti ladang racun pembajaan dan industri bengkel.

“Selain itu, pencemaran aktiviti kumbahan seperti loji kumbahan perumahan dan industri, tumpahan minyak dan bahan kimia serta air larut resapan dari tapak pelupusan sampah turut menjadi faktor utama pencemaran sungai negeri ini.

“Namun semua aduan berkenaan sudah disiasat dan diambil tindakan susulan,” katanya. 

Beliau menjawab soalan Datuk Syed Sis Abdul Rahman (Barisan Nasional-Tanjong Surat) yang bertanyakan jumlah sungai tercemar dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.

Menurut Vidyananthan, terdapat 18 sungai di Johor berstatus kelas empat iaitu hanya sesuai digunakan untuk pengairan manakala 47 lagi berada dalam kelas tiga yang memerlukan rawatan intensif. 

Katanya, sebanyak 59 sungai di negeri ini berada dalam kelas dua iaitu air sungai memerlukan rawatan konvensional. 

“Johor mempunyai sebanyak 399 jumlah sungai namun tidak semuanya dipantau dan diawasi Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor secara terperinci. 

“Pengawasan kualiti air sungai yang dilaksanakan oleh JAS Johor membabitkan 23 lembangan sungai yang merangkumi 126 batang sungai. 

“Pengawasan kualiti air sungai  adalah lebih kepada fungsi dan justifikasi tertentu untuk memantau impak industri kepada ambient sungai serta aliran sungai yang memasuki loji rawatan air mentah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN