BACHOK: Jogho, seekor lembu baka ‘Limousine’ seberat 1.6 tan dari jajahan ini ke pentas dunia apabila dipilih mewakili benua Asia ke pertandingan lembu Limousine-Champion of The World tidak lama lagi.
Pemiliknya, Zulkifli Yaakob, 51, berkata, dalam pertandingan itu, Jogho bakal bersaing dengan lembu-lembu baka Limousine seperti dari Perancis, New Zealand dan Afrika.
“Menang atau kalah itu bukan persoalan utama buat saya. Apa yang penting ia adalah rezeki.
“Sekurang-kurangnya saya mampu membawa nama jajahan Bachok, Kelantan dan Malaysia ke pentas dunia,” katanya ketika ditemui di Kampung Keluat, di sini hari ini.
Zulkifli memberitahu, dia masih ‘terkejut’ dan tidak menyangka lembu yang diternak sejak dua tahun lalu itu dipilih untuk menyertai pertandingan tersebut.
Katanya, pemilihan Jogho dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar selepas menjalankan saringan ke seluruh negeri untuk mencari lembu ‘sado’ terbaik.
“Kriteria pemilihan Jogho ini dibuat berpandukan kepada struktur tubuh, ketinggian, panjang, cantik dan lain-lain.
“Saya amat berharap Jogho mampu melakukan ‘kejutan’ pada pertandingan itu nanti,” ujarnya yang sudah lebih sedekad menternak lembu.
Beliau yang merupakan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pak Pura berkata, segala persiapan untuk menyertai pertandingan itu sudah giat dijalankan.
Katanya, setiap hari dia memberi makan dua kali kepada Jogho dengan dedak dan rumput.
“Selain itu, saya juga memandikan Jogho seminggu sekali,” katanya.- UTUSAN ONLINE