Jangan desak PM beri jawatan TPM - Utusan Malaysia

Jangan desak PM beri jawatan TPM

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Semua pihak terutama pemimpin parti yang bergabung atau mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) diminta supaya tidak mendesak jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) diberikan kepada mereka.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia kerana kuasa pelantikan sebarang jawatan anggota pentadbiran dalam kerajaan adalah hak mutlak serta mengikut budi bicara Perdana Menteri.

Justeru, tegasnya, adalah tidak wajar mana-mana parti atau pemimpin memberi tekanan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin mewujudkan semula jawatan TPM dan dikhususkan kepada parti tertentu.

“Spekulasi, tafsiran atau sebarang analisis mengenai jawatan TPM tidak harus dibincangkan secara umum biarpun sesebuah parti mungkin membuat keputusan untuk mencadangkan jawatan itu dipenuhi.

“Hakikatnya mana-mana parti boleh meminta tetapi jauhkanlah daripada mendesak kerana kita harus menghormati kuasa yang ada di tangan Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas bersarapan bersama komuniti setempat di Hutan Melintang, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk mengulas laporan muka depan Mingguan Malaysia hari ini berhubung kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa isu jawatan TPM untuk diisi pemimpin UMNO akan dibangkitkan semula sebaik sahaja Belanjawan 2021 yang sedang dibahaskan di Parlimen selesai.

Menurut Ahmad Zahid, Muhyiddin selaku Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pengerusi PN telah membayangkan pilihan raya umum akan diadakan sebaik sahaja pandemik Covid-19 berada di tahap paling rendah.

Tegasnya, sudah tentu Perdana Menteri mempunyai perkiraan sendiri, justeru mana-mana pemimpin parti terutama UMNO sendiri harus menghormati hak mutlak dan budi bicara Muhyiddin dalam sebarang pelantikan jawatan.

Beliau bagaimanapun mengakui isu jawatan TPM untuk UMNO memang ada dibincangkan dalam parti itu dan ada kalangan pemimpin yang tidak puas hati dengan keadaan tersebut.

“Kita tahu bahawa di peringkat membuat keputusan dalam parti saya akui memang ada (yang tidak berpuas hati) tetapi saya fikir dalam situasi sekarang, ia (jawatan TPM) bukan satu keperluan yang mendesak,” katanya.

Beliau berkata, banyak perkara berkaitan politik negara termasuk hubungan kurang mesra antara UMNO dan Bersatu termasuk di peringkat akar umbi dibincangkan dalam pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri baru-baru ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN