Insiden tembak anggota PGA: Suspek utama penyeludupan ditahan - Utusan Malaysia

Insiden tembak anggota PGA: Suspek utama penyeludupan ditahan

SURINA SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Empat lagi termasuk seorang warga Thailand direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung serangan penyeludup yang mengorbankan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berdekatan Tembok Sempadan (TS9), Padang Besar di sini, kelmarin.

Suspek terbabit terdiri tiga lelaki warga tempatan berusia 26 hingga 45 tahun dan warga Thailand berusia 27 tahun dibawa ke mahkamah dengan berpakaian lokap pada pukul 9.10 pagi sebelum dibawa keluar sejam kemudian.

Lelaki warga Thailand tersebut yang dipercayai salah seorang daripada 13 penyeludup dalam kejadian tembak menembak berhampiran pos TS9 pada 2.30 pagi Selasa itu ditahan kira-kira pukul 9 pagi semalam. 

Dia jatuh ke dalam gaung semasa kejadian tembak menembak antara pasukan keselamatan dengan penyeludup terbabit.

Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302/307 Kanun Keseksaan.

Perintah reman dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret Kangar, Monica Joseph Gaisah di Mahkamah Kangar di sini.

Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, dua suspek warga tempatan berumur 26 dan 27 tahun itu ditahan di Padang Besar pagi semalam. 

“Sementara itu, suspek berumur 45 tahun yang juga suspek utama penyeludupan pula ditahan di semasa menyerah diri di Balai Polis Kangar semalam,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi kelmarin, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban dalam pertempuran dengan 13 penyeludup ketum kira-kira 600 meter dari tembok sempadan berhampiran pos TS9.

Sementara itu, rakannya, Sarjan Norihan Tari, 39, cedera paru-paru dan perut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN