Ibu kepada model Belgium mati jatuh kondo saman polis   - Utusan Malaysia

Ibu kepada model Belgium mati jatuh kondo saman polis  

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ibu kepada model warga Belgium, Ivana Esther Robert Smit yang maut  terjatuh dari sebuah unit Kondominium CapSquare Residences di Dang Wangi, tiga tahun lalu memfailkan saman terhadap Ketua Polis Negara dan tiga lagi atas dakwaan gagal menyiasat semula kes kematian remaja itu.

Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen, 56, warga Belanda memfailkan saman melalui firma guaman, Tetuan S. N. Nair & Partners di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Wanita itu selaku plaintif menamakan Ketua Polis Negara (KPN), pegawai penyiasat, Asisten Superintenden, Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga keempat.

Menurut pernyataan tuntutan, Verstappen berkata, dia tidak dapat menerima dapatan defendan-defendan termasuk pegawai penyiasat pertama, Sarjan Haliza menutup kes kematian anaknya sebagai `kematian atas sebab semula jadi atau bunuh diri’.

Menurut wanita itu, defendan-defendan membuat keputusan dengan tergesa-gesa tanpa membuat siasatan menyeluruh dari semua aspek dan mengambil kira laporan bedah siasat, kimia dan sebagainya sehingga melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan amalan terbaik dalam penyiasatan.

Susulan tidak puas hati tersebut, satu inkues kematian Ivana diadakan di Mahkamah Koroner Kuala Lumpur yang bermula pada 8 Ogos 2018 dengan 22 orang saksi dipanggil memberi ketengan.

Pada 8 Mac 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Ivana disebabkan misadventure (kematian akibat nahas) dan tiada elemen jenayah.

Bagaimanapun, pada 22 November, Mahkamah Tinggi di sini mengetepikan keputusan koroner dan mengarahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) meminta polis menyiasat punca kematian model berusia 19 tahun itu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah dalam keputusannya menyatakan kematian model itu adalah disebabkan oleh ‘individu yang dikenali atau tidak dikenali’ dan tidak ada penyiasatan yang mencukupi dijalankan oleh pihak berkuasa.

Selepas arahan tersebut, plaintif mendapati, defendan kedua iaitu Faizal masih menjadi sebahagian daripada pasukan penyiasatan walaupun terdapat banyak isu ditimbulkan berhubung pegawai polis itu sewaktu inkues.

Pasukan penyiasat yang ditubuhkan pada 27 November 2019 itu didakwa bersifat malas dan berhibernasi walaupun pihak berkuasa Belanda  memberi peringatan mengenai siasatan itu.

Hanya selepas didesak beberapa kali, sekitar Oktober 2020, barulah defendan kedua meminta salinan laporan-laporan bedah siasat, gambar tempat kejadian dan lain-lain dokumen berkaitan kes itu daripada Pejabat Pendakwa Belanda dan Polis Belanda sedangkan dokumen-dokumen itu sepatutnya berada dalam salinan Faizal.

Verstappen mendakwa tindakan itu menunjukkan sikap defendan-defendan yang tidak bertanggung jawab, memusnahkan harapan keluarga dan  gagal menjalankan tanggung jawab statutori.

Oleh itu, plaintif memohon kesemua defendan membayar ganti rugi am, teruk dan teladan kerana pelanggaran tanggung jawab statutori, kecuaian dan misfeasens.

Wanita itu juga memohon deklarasi kesemua defendan gagal melaksanakan tanggung jawab mereka sekali gus menghina mahkamah kerana tidak melaksanakan arahan  Mahkamah Tinggi.

Verstappen memohon perintah mandamus (memaksa) defendan pertama untuk mengeluarkan Faizal daripada pasukan siasatan dan menubuhkan pasukan baharu bagi memulakan kembali penyiasatan berhubung kematian anaknya.

Plaintif  memohon perintah agar PDRM melaporkan perkembangan semasa siasatan dari semasa ke semasa kepada mahkamah, ibu mangsa atau peguam yang mewakili Verstappen.

Verstappen turut memohon perintah mandamus agar PDRM dan Menteri Dalam Negeri mengeluarkan waran tangkap terhadap Alexander William Johnson dan Lunara Almazkyzy iaitu individu terakhir bersama Ivana serta perintah ekstradisi terhadap kedua-dua individu terbabit untuk dibawa semula ke negara ini untuk membantu siasatan dan sehingga kes selesai. 

Turut dimohon ialah kos guaman plaintif dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya