KUALA LUMPUR: Henti rakam video mengenai sesuatu kejadian yang memaparkan mesej tersirat seolah-olah pegawai penguat kuasa bertindak menyalahi undang-undang untuk “menindas” orang ramai.
Itu amaran Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang menyifatkan ia perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Kata beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan memfitnah.
Jelas Abdul Hamid, perbuatan-perbuatan tidak bertanggungjawab telah menimbulkan kegusaran dan salah persepsi dalam kalangan masyarakat terhadap mana-mana penguat kuasa dan pasukan polis.
“Percayalah, perkara ini akan ditangani dengan sekeras-kerasnya di bawah undang-undang Kanun Keseksaan Jenayah dan Akta Komunikasi Multimedia,” katanya di sini semalam.
Terdahulu, media melaporkan individu yang merakam video atau membuat siaran secara langsung ketika anggota polis melakukan serbuan atau tangkapan boleh diambil tindakan kerana ia dianggap menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta boleh mengganggu siasatan.
Memetik kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, tindakan mengambil gambar atau merakam video bukan satu kesalahan jenayah, namun bukan ketika anggota polis sedang menjalankan siasatan terhadap sesuatu kes.
Sebelum ini, media melaporkan polis menjalankan siasatan terhadap Presiden UMANY, Yap Wen Qing mengikut Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataan kontroversi mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Dalam pada itu, seorang aktivis pelajar, Wong Yan Ke juga ditahan ketika membuat siaran secara langsung ketika polis menyerbu kediaman Wen Qing, di Petaling Jaya pada Ahad lalu.
Tangkapan ke atasnya kemudian ditularkan oleh pihak tertentu di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. – UTUSAN