Had ahli Parlimen: Pejuang tidak dibawa berbincang - Utusan Malaysia

Had ahli Parlimen: Pejuang tidak dibawa berbincang

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) membantah keputusan Mesyuarat Penyelarasan Urusan Dewan Rakyat yang mengehadkan 80 ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohammad menyifatkan alasan tersebut sebagai tidak berasas berikutan persidangan Dewan Rakyat bukan pertama kali dijalankan sepanjang tempoh penularan pandemik Covid-19.

“Terdapat prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan di dalam dewan seperti pemasangan penghadang lut sinar dan aturan kerusi secara penjarakan sosial bagi sidang-sidang sebelum ini.

“Selain itu, persidangan secara digital juga boleh menjadi alternatif yang sesuai bagi memastikan persidangan dapat dijalankan dengan sempurna tanpa mengehadkan keterlibatan ahli-ahli Parlimen dalam perbahasan.

“Rakyat disuruh bekerja secara alternatif dan dalam talian namun Perikatan Nasional (PN) sendiri mengambil jalan mudah dan ke belakang,” katanya dalam satu kenyataan.

Tiga pemimpin Pejuang lain iaitu Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Wira Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Shahruddin Md. Salleh turut menyatakan bantahan sama.

Kenyataan itu hadir susulan kenyataan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun setelah mengambil kira nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) serta syarat-syarat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bahawa ahli-ahli mesyuarat Dewan Rakyat bersetuju membuat beberapa perubahan dalam persidangan tersebut.

Antara perubahan itu ialah kehadiran ahli Parlimen sepanjang tempoh persidangan dihadkan kepada 80 orang dengan pecahan 41 daripada kerajaan dan 39 pembangkang serta Bebas.

Belanjawan 2021 akan dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini yang meletakkan langkah menangani Covid-19, pengurusan ekonomi dan inisiatif membantu rakyat pada saat sukar akibat pandemik tersebut sebagai fokus utama.

Belanjawan itu juga adalah pertama buat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah PN sejak mentadbir awal Mac lalu.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata, keputusan mengehadkan kehadiran ahli-ahli Dewan tidak dibincangkan bersama dengan wakil daripada Pejuang malah tidak pernah dijemput untuk membincangkan perkara tersebut.

“Ahli Parlimen adalah wakil sah yang dipilih oleh rakyat bagi menyuarakan dan memperjuangkan kepentingan rakyat dalam Parlimen.

“Keterlibatan penuh ahli Parlimen dalam sesi Belanjawan 2021 adalah cukup penting bagi memastikan belanjawan negara dapat diperhalusi mengikut keperluan rakyat tanpa ruang salah guna dan penyelewengan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya