Had 80 ahli Parlimen tidak jejas demokrasi - Utusan Malaysia

Had 80 ahli Parlimen tidak jejas demokrasi

ANNUAR MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Peraturan Dewan Rakyat yang mengehadkan 80 ahli Parlimen dalam usaha mencegah penularan Covid-19 tidak menjejaskan sistem demokrasi berparlimen.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, ahli-ahli Parlimen lain tetap boleh mengikuti persidangan di luar Dewan melalui siaran secara langsung.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh memberitahu, mana-mana ahli Parlimen yang ingin berbahas atau membuat undian boleh memasuki Dewan persidangan secara bergilir-gilir supaya tidak sesak.

“Waktu di luar boleh ikuti sidang melalui ‘close circuit’, rasa nak masuk, boleh masuk asalkan sentiasa ada di bangunan Parlimen.

“Mereka tak faham, 80 orang dalam Dewan Rakyat itu bermaksud dalam ‘chamber’. Yang lain duduk bilik lain tetapi boleh ikuti sidang. Bergilirlah masuk ‘chamber’. Nak bahas dan nak undi boleh masuk,” katanya menerusi akaun Twitter beliau hari ini.

Pengehadan 80 ahli Parlimen pada satu-satu masa sepanjang tempoh persidangan sesi kali ini diputuskan dalam Mesyuarat Penyelarasan Urusan Dewan Rakyat Berikutan Penularan koronavirus (Covid-19), semalam.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pelaksanaan itu termasuk ketika pembentangan Belanjawan 2021 petang ini.

Pecahan pembahagian yang ditentukan adalah 41 pihak kerajaan dan 39 pihak pembangkang dan Bebas yang ditetapkan oleh parti masing-masing dengan diberikan kad khas untuk diselaraskan kehadiran. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN