Guru buka kelas tambahan percuma - Utusan Malaysia

Guru buka kelas tambahan percuma

ABD. Ghani Jalil (memakai pelitup muka) mengajar seorang pelajar dalam kelas tambahan percuma yang diadakannya di Pokok Sena, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pokok sena: Seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payung di sini sanggup berkorban masa dan tenaga mengadakan kelas tambahan secara percuma kepada pelajarnya yang lemah dalam pelajaran sejak awal tahun ini.

Guru terbabit, Dr. Abd. Ghani Jalil, 46, berkata, beliau ke rumah pelajar terlibat termasuk di kawasan pedalaman untuk mengajar secara individu atau berkumpulan.

“Saya adakan kelas ini secara sukarela kerana mahu pelajar dapat membaca dan menulis dengan baik demi masa depan mereka.

“Kebanyakan mereka terdiri daripada pelajar kelas pemulihan,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, seramai 26 pelajar kini berada di bawah bimbingannya.

“Saya tidak kisah walaupun terpaksa meredah masuk hutan dengan jalan yang tidak sempurna, asalkan dapat membimbing mereka,” katanya.

Abd. Ghani berkata, kebanyakan pelajar terdiri daripada keluarga miskin, kurang motivasi diri dan ada yang kerap ponteng sekolah.

“Saya cuba mendekati mereka dengan cara ini dan mereka menerimanya dengan baik,” katanya.

Tambahnya, selain memastikan pelajar boleh membaca dan menulis, dia mahu mereka berjaya dalam mata pelajaran bahasa Melayu kerana merupakan nadi kejayaan terutama dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Alhamdulillah, pengorbanan saya selama ini berhasil apabila ramai dalam kalangan pelajar sudah mampu membaca dan me­nulis dengan baik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN