LUMUT: Tindakan seorang wanita menggunakan wang pasangan suami isteri tanpa kebenaran dikatakan menjadi punca dia didera yang mana video kejadian itu tular dalam media sosial Rabu lalu.
Wanita warga tempatan berusia 25 tahun itu diminta oleh pasangan suami isteri tersebut membeli barang dan baki wang pembelian itu digunakan oleh mangsa bagi membeli keperluan dirinya tanpa meminta izin terlebih dulu.
Berang dengan tindakan mangsa, pasangan suami isteri berusia 22 tahun dan dan 19 tahun itu memukul dan menendang tubuh, menampar muka serta mencucuh tapak kaki wanita itu dengan colok dalam video berdurasi dua minit enam saat.
Itu keterangan diberikan mangsa kejadian itu yang membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung pada pukul 2.47 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, walaupun video kejadian dera itu baru tular pada Rabu lalu, mangsa memberitahu kejadian itu sebenarnya berlaku di sebuah rumah di Hutan Melintang, Bagan Datuk, pada April lalu.
“Mangsa melarikan diri dari rumah pada 2018 dan tinggal bersama pasangan itu yang mana lelaki berkenaan adalah sepupunya.
“Bagaimanapun, selepas kejadian itu, mangsa tidak lagi tinggal bersama pasangan tersebut sebaliknya duduk berasingan dan bekerja di sebuah kedai makan di Sitiawan.
“Dia juga sudah terputus hubungan dengan mereka dan tidak tahu di mana pasangan itu berada sekarang,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Operasi Pemantuan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Jeti Pulau Marina, Teluk Muroh di sini hari ini.
Nor Omar berkata, siasatan lanjut kes itu akan dilakukan oleh IPD Hilir Perak berikutan keterangan mangsa mengatakan kejadian itu berlaku di Hutan Melintang.
Semalam, beliau meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan dua individu yang melakukan penderaan itu susulan laporan polis dibuat oleh seorang lelaki di Kuantan, Pahang.
Beliau berkata, individu itu ialah seorang lelaki, Lau Kah Wai, nombor Mykad 980930-56-5825 yang beralamat di No 30, PT 1130, Simpang Empat Jalan Bagan Datuk, Taman Melintang Ria, Hutan Melintang, Bagan Datuk, Perak.
Katanya, seorang lagi ialah wanita bernama Cheah Zi Ying, nombor Mykad 010629-10-1714 beralamat di 492A, Lorong 8, Sungai Garden, Jalan Tanjung Batu, Bintulu, Sarawak.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – UTUSAN ONLINE