Golongan rentan terus dibela - Muhyiddin - Utusan Malaysia

Golongan rentan terus dibela – Muhyiddin

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan terus berusaha meringankan beban kos sara hidup rakyat dan menyediakan program perlindungan sosial komprehensif bagi memastikan golongan rentan dan berpendapatan rendah tidak tertinggal daripada arus pembangunan negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu turut menjadi fokus dalam Belanjawan 2021 dengan memberi tumpuan khusus kepada inisiatif-inisiatif membantu golongan berkenaan yang terjejas dengan pandemik Covid-19.

Kata Perdana Menteri, beliau sedar keutamaan itu apatah lagi selepas menziarahi keluarga di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Kuala Lumpur Ogos lalu.

“Saya melihat ada dalam kalangan mereka yang bertungkus-lumus membina kehidupan yang lebih baik sehingga melakukan lebih daripada satu pekerjaan untuk menampung keperluan kewangan keluarga. Saya sedar dan insaf akan realiti ini,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Bulan Keluarga Kebangsaan 2020 secara maya anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bertemakan ‘Kita Jaga Keluarga’.

Muhyiddin berkata, bertepatan dengan situasi semasa ancaman Covid-19, peranan setiap ahli keluarga sangat penting untuk melindungi keluarga masing-masing selain bertanggungjawab membendung penularan pandemik itu dalam komuniti.

Pada masa sama, kata beliau, tema berkenaan juga menggambarkan komitmen kerajaan untuk melindungi institusi keluarga daripada pandemik berkenaan.

Beliau menjelaskan, keluarga yang terkesan diberi pelindungan, sokongan emosi dan khidmat kaunseling bagi membina semula kekuatan supaya lebih cekal dalam menghadapi cabaran pada masa akan datang.

“Keluarga yang terjejas dengan pandemik ini perlu diperkasa dan diberi sokongan bagi memulakan kehidupan baharu serta meneruskan kelangsungan hidup.

“Sistem sokongan yang komprehensif memerlukan penglibatan semua pihak termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), swasta dan orang perseorangan untuk peduli keluarga serta saling membantu keluarga yang memerlukan bantuan,” katanya.

Dalam hal ini, Perdana Menteri memberitahu, kementerian berkaitan menyediakan Talian 15999 secara 24 jam untuk khidmat sokongan dalam membantu menangani isu tekanan emosi.
Selain itu, katanya, inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) pula menyediakan Bantuan Khas Ibu Tunggal yang sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban kewangan ibu tunggal untuk meneruskan kehidupan bersama anak-anak dan ahli keluarga.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus komited menetapkan visi Malaysia sebagai negara yang mampan, adil, saksama dan inklusif sekali gus meningkatkan kemakmuran negara.

“Rakyat yang bersatu padu dengan meraikan kepelbagaian bangsa dan budaya adalah asas penyatuan negara bangsa. Ini adalah hasrat yang telah kita nyatakan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya. – UTUSAN ONLINE

habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN