IPOH: UMNO Perak yakin kerusi Parlimen Gerik tetap milik parti itu yang tradisinya ditandingi calon dari parti berkenaan setiap pilihan raya.
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, namun, parti itu tetap mengadakan perbincangan dengan rakan parti dalam Perikatan Nasional (PN) berhubung kemungkinan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Hasbullah Osman.
Menurutnya, walaupun Parlimen Gerik tradisinya kerusi UMNO, namun, perbincangan mengenainya tetap akan diadakan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dalam PN.
Beliau berkata, perbincangan seperti itu pernah diadakan ketika UMNO bersama Pas dalam Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi beberapa PRK sebelum ini.
“Sebelum ada PN, kita ada persefahaman dengan UMNO Pas dalam MN dalam menghadapi beberapa PRK.
“Seperti yang ditunjukkan dalam PRK Chini dan Slim, tiga parti teras dalam PN biasanya akan saling bersetuju di mana tradisinya sesebuah parti itu bertanding, maka kita memberi keutamaan kepada parti berkenaan.
“Kalau mengambil kira apa yang berlaku di PRK Chini dan Slim, saya yakin di Gerik pun sama kerana kerusi itu tradisinya ialah kerusi UMNO,” katanya.
Beliau ditemui selepas pelancaran Inisiatif Rakan Niaga Telco di antara kerajaan negeri dengan kerjasama redONE Network Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Majlis dilancarkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Sementara itu, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu, walaupun Parlimen Gerik tradisinya milik UMNO, perbincangan sesama parti dalam PN akan diadakan.
“Bersatu sentiasa akan berpakat dengan UMNO dan Pas sebelum membuat apa-apa keputusan,” katanya.
Allahyarham Hasbullah, 63, meninggal dunia di Raub, Pahang pada Isnin akibat serangan jantung.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Hasbullah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) menang kerusi Parlimen Gerik apabila meraih 13,243 undi.
Beliau mengalahkan dua calon lain itu Mohd. Dahalan Ismail dari Pas (7,715 undi) dan Ibrahim Hanafiah dari Bersatu (6,353 undi).
Beliau mula menjadi Ahli Parlimen Gerik yang mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Temenggor dan Pengkalan Hulu, pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) hingga sekarang.
Sebelum itu beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temenggor selama dua penggal bermula PRU-11. – UTUSAN ONLINE