Gembleng tenaga dengan KBS bantu belia dapat kerja - Utusan Malaysia

Gembleng tenaga dengan KBS bantu belia dapat kerja

M. SARAVANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia bakal melaksanakan beberapa inisiatif di bawah Belanjawan 2021 bagi mengurangkan kadar pengangguran dan merancakkan pasaran buruh.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan ketika beri jaminan itu berkata, inisiatif tersebut melalui program peluang kerjaya dengan rakan strategik seperti Kementerian Belia dan Sukan.

“Kedua-dua kementerian ini komited bekerjasama dalam isu pewujudan pekerjaan baharu, latihan kemahiran serta akses dana dan fasiliti untuk belia,” kata beliau menerusi kenyataan.

Saravanan menambah, antara program dianjurkan bersamaialah Karnival Penjana Kerjaya Belia 2020 yang berlangsung dari 24 sehingga 26 November lalu secara dalam talian.

Ia dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), agensi di bawah kementerian beliau sendiri, yang menyaksikan penyertaan 13,246 belia dari seluruh negara secara maya.

“Selain temuduga terbuka, lima sesi webinar kerjaya bersama majikan dan pakar profesional dijalankan dalam karnival itu yang menarik minat lebih 3,300 peserta,” jelas Saravanan.

Beliau turut berbesar hati apabila Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ketika perasmian menggesa belia merebut peluang kerja disediakan Perkeso.

Ini termasuk ribuan pekerjaan baharu ditawarkan majikan terus menerusi portal pekerjaan nasional, MYFutureJobs yang dikelolakan oleh agensi tersebut sejak dimulakan pada 5 Jun lalu.   

“Penganjuran karnival oleh dua kementerian ini bagi membantu belia dapat menghadiri temuduga berikutan ada tempat yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat,” katanya.

Menurut data Sistem Insurans Pekerjaan Perkeso ujar Saravanan, sehingga 20 November lalu, sejumlah 19,396 belia yang berusia antara 25 tahun hingga 29 tahun kehilangan pekerjaan.

Sementara rekod Kementerian Belia dan Sukan pula mendapati kadar pengangguran belia naik kepada 9.0 peratus dan susulan itu telah mendorong pihak kerajaan melaksanakan Agenda Pemerkasaan Belia.

“Lebih 62 peratus daripada pekerja dibuang kerja di seluruh negara adalah kalangan belia dan kerajaan amat prihatin atasi isu pengangguran serius akibat pandemik Covid-19,” tegasnya.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya