KOTA BHARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan semalam sebulat suara meluluskan cadangan kenaikan gaji Exco dan ADUN berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.
Terdahulu, rang undang-undang (RUU) untuk meminda Enakmen (Saraan) Anggota-Anggota Pentadbiran dan Ahli-Ahli Dewan Negeri 1980 pindaan 2020 dicadangkan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Abdullah.
Ketika membentangkannya, Mohd. Amar (Pas-Panchor) berkata, pindaan itu dikemukakan berikutan keadaan semasa yang mencabar kepada anggota pentadbiran dan ADUN, selain sebagai satu pelarasan elaun antara negeri ini dengan negeri lain.
“Tugas anggota pentadbiran dan ahli dewan negeri bertambah berat, membawa harapan yang tinggi daripada rakyat terutama ketika berdepan suasana pandemik Covid-19.
“Oleh demikian, kerajaan mencadangkan, pindaan dibuat ke atas enakmen tersebut seperti termaktub dalam senarai rang undang-undang yang dikemukakan.
“Adalah diharapkan cadangan ini mendorong anggota pentadbiran dan ahli dewan untuk bekerja lebih gigih dan meningkatkan khidmat kepada orang ramai pada tahap maksimum,” kata beliau pada sidang DUN Kelantan di sini.
Speaker DUN, Datuk Abdullah Yaakob seterusnya memberi laluan untuk perkara itu dibahaskan, namun tiada wakil rakyat berbuat demikian sekali gus diluluskan sebulat suara.
RUU dibentangkan Mohd. Amar bagaimanapun tidak menyebut jumlah kenaikan yang akan dinikmati semua Exco dan wakil rakyat terlibat.
Media sebelum ini melaporkan sekiranya diluluskan dalam Belanjawan Kelantan 2021, Exco kerajaan negeri dan wakil rakyat akan menikmati kenaikan gaji pokok sekitar RM3,000 hingga RM5,000 setiap seorang.
Perkara itu menimbulkan pelbagai reaksi negatif orang ramai yang berpendapat kerajaan Pas Kelantan sepatutnya peka dengan situasi ekonomi sekarang yang menyaksikan rakyat hidup dalam kesusahan akibat pandemik Covid-19. – UTUSAN