Fenomena air pasang besar: Air limpah ke jalan punca kesesakan - Utusan Malaysia

Fenomena air pasang besar: Air limpah ke jalan punca kesesakan

KESESAKAN teruk lebih 200 meter dilaporkan berlaku di kedua-dua arah jalan Kuala Selangor-Tanjong Karang, Selangor berikutan limpahan air fenomena air laut pasang besar, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Fenomena air pasang besar di daerah ini menyebabkan kesesakan teruk di kedua-dua arah jalan yang menghubungkan Kuala Selangor-Tanjong Karang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor, Ismail Zakariya berkata, kesesakan lebih 200 meter itu dilaporkan berlaku sekitar pukul 8 pagi apabila air melimpah ke jalan raya.

“Berdasarkan laporan yang diterima, air pasang mula melimpah ke jalan berkenaan kira-kira pukul 6.15 pagi, namun kembali surut kira-kira tiga jam kemudian.

“Limpahan menyebabkan kedua-dua laluan sesak, kebetulan pula orang ramai keluar bekerja pada ketika itu. Jalan ini juga adalah satu-satunya laluan yang menghubungkan Kuala Selangor dan Tanjong Karang.

“Bagaimanapun, tiada berlaku banjir di daerah ini, hanya melibatkan limpahan air biasa di kawasan penempatan penduduk. Ini perkara normal setiap kali terjadinya fenomena air pasang besar, namun keadaannya masih terkawal,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, di Klang, tiada kawasan penempatan yang terjejas di daerah ini ekoran bacaan air laut masih terkawal pada hari ini.

Ketua Bomba Zon Klang, Hussin Ab. Rahman berkata, paras air laut yang direkodkan di daerah ini adalah 5.6 meter pada pukul 6.25 pagi tadi.

Menurutnya, tiada limpahan air laut tidak berlaku dan seluruh kawasan pinggir laut masih terkawal selain ban juga tiada yang terjejas.

“Bacaan yang direkodkan tidak berbahaya cuma limpahan air biasa melalui sungai ada berlaku. Kita meramalkan bacaan air laut esok juga menurun kepada 5.5 meter.

“Meskipun bacaan pada paras yang biasa, bomba sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan. Ketika waktu monsun timur laut ini sebarang kejadian boleh berlaku. Jika berlaku hujan lebat dan angin kuat akan membantu peningkatan air laut,” katanya.

Tambahnya, pihaknya meminta penduduk supaya sentiasa berwaspada dan bersedia dengan sebarang arahan daripada pihak berkuasa,” ujarnya.

Terdahulu, lima daerah di Selangor dijangka berlaku fenomena air laut pasang besar bermula September lalu sehingga bulan ini.

Unit Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataannya menjelaskan, fenomena air laut pasang besar diramal berlaku pada 19 hingga 20 September, 17 hingga 19 Oktober dan 15 hingga 16 November di persisiran pantai Selangor, dengan ketinggian paras air laut mencecah paras 5.8 meter. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN