KUALA LUMPUR: Walaupun sekadar lakonan, pelakon baharu Farhan Asri mengakui babak dikafankan dalam drama bersiri Menantu Tok Sintok memberi impak yang cukup mendalam buat emosinya.
“Kematian bukan satu perkara yang ditunggu-tunggu oleh kita semua. Namun mati itu pasti dan ia kekal menjadi rahsia Allah.
“Beginilah agaknya rupa wajah terakhir saya sebelum ke negara abadi. Perasaan sedih, tergamam, gemuruh, takut, gementar dan macam-macam lagi bermain di fikiran masa penggambaran drama Menantu Tok Sintok.
“Agak takut jugalah bila ada babak dikafankan. Watak Badrol yang saya bawakan ini benar-benar memberi iktibar dan keinsafan. Gila tak insaf bila tengok diri sendiri dikafankan. Jujur cakap saya belajar banyak benda dalam drama ini seperti mandikan jenazah, kafankan jenazah mahupun gali kubur,” tulisnya dalam entri terbaharu di Instagram.
Sementara itu bercakap mengenai watak yang dibawa, Farhan mengakui ia adalah antara pengalaman penting untuk karier lakonannya yang masih hijau.
“Saya timba satu pengalaman baharu yang tak pernah saya bayangkan dan tak mudah untuk dilakukan sebab pikul tanggungjawab berat kali ini.
“Ini antara salah satu babak yang perlu saya bawakan dalam drama Menantu Tok Sintok siaran Salam HD tak lama lagi. Doakan semoga perjalanan karier saya dipermudahkan dan mendapat kepercayaan ramai.
“Terima kasih kepada penerbit Datuk A. Aida sebab beri kepercayaan dan tidak dilupakan pengarah hebat Lizam Togel (Ujang) sebab selalu mencabar saya jadi lebih baik serta krew produksi yang terbaik,” tulisnya lagi. – UTUSAN ONLINE