BATU PAHAT: Enam individu termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun terselamat dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan tiga kenderaan di Jalan Perserai, di sini hari ini.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan Ridwan Gembur berkata, kemalangan itu mengakibatkan enam mangsa tersepit di dalam sebuah kereta Proton lswara akibat pelanggaran antara Proton Saga dan sebuah lori lima tan.
Katanya, sebuah jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat dengan kekuatan keseluruhan sembilan anggota ditugaskan ke tempat kejadian sebaik sahaj menerima panggilan pada pukul 12.31 tengah hari.
“Sebaik sahaja Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi kejadian, didapati enam mangsa tersepit di dalam kereta dan PKO bertindak mengeluarkan mangsa dari kereta tersebut menggunakan peralatan khas.
“Semua mangsa dikeluarkan dan mereka yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail menggunakan jentera EMRS dan ambulans Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE