Empat buruh Indonesia dituduh cemar Sungai Muda - Utusan Malaysia

Empat buruh Indonesia dituduh cemar Sungai Muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI:  Empat buruh Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mengakibatkan pencemaran Sungai Muda kerana tumpahan minyak diesel di Sik dekat sini pada 12 November lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Dedi Hardianto, 32, Andika Safutra 32, Ade Pitria, 33, dan Bestian, 38, kerana mereka tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu. 

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa secara bersama menyebabkan pencemaran Sungai Muda akibat diesel sehingga mencemarkan kualiti air di muka sauk Jeniang Baru, Jeniang Lama dan Sungai Pau di Gurun dekat sini.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Kilometer 17, Jalan Kalai Gajah Putih, Sik kira-kira pukul 3.55 petang, 12 November lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azrul Abdul Rahman manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Azman kemudian mengarahkan mahkamah melantik jurubahasa bahasa Indonesia bagi memastikan semua tertuduh memahami pertuduhan dan kes disebut semula pada 23 Disember depan.

Mahkamah membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM50,000 seorang dan seorang penjamin warga tempatan selain perlu melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik setiap bulan.

Utusan Malaysia 14 November lalu melaporkan dua kontraktor, seorang penyelia tapak dan empat buruh Indonesia ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes tumpahan diesel sehingga mengakibakan pencemaran Sungai Muda.

Pencemaran mengakibatkan sebanyak 34,200 akaun pengguna di Sik dan Gurun mengalami gangguan bekalan air susulan henti tugas di tiga Loji Rawatan Air.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN