SEREMBAN: Dua cedera dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 276.1 Arah Utara, Lebuh Raya Utara Selatan, dekat sini kira-kira pukul 6.55 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, dalam kemalangan itu, sebuah kereta Toyota Vios yang dipandu seorang wanita berusia 30 tahun dalam perjalanan menghala ke Kuala Lumpur dipercayai hilang kawalan lalu terbabas.
Katanya, kereta itu kemudian melanggar sebuah Honda City yang dipandu di lorong dua dari kiri oleh seorang lelaki berusia 54 tahun mengakibatkan kenderaan tersebut terbabas ke longkang di bahu kiri lebuh raya.
“Sebuah lori tangki membawa muatan minyak sawit yang dipandu seorang lelaki berumur 49 tahun sedang bergerak terus di lorong paling kiri dari arah sama tidak sempat mengelak lalu melanggar Toyota Vios yang berhenti di dalam laluannya.
“Keadaan itu menyebabkannya hilang kawalan dan tangki lori tersebut terpisah dengan kepala lori lalu tercampak ke lorong paling kanan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Nor Marzukee, akibat kemalangan berkenaan, mangsa wanita pemandu kereta Toyota Vios mengalami kecederaan dalaman dan menerima rawatan di zon kuning di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban.
“Pemandu lelaki pula mengalami cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama. Pemandu lori tangki bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya yang memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Mohd. Syazwan Saidy berkata, kemalangan tersebut menyebabkan berlakunya kesesakan sepanjang lapan kilometer di lebuh raya berkenaan.
“Seramai 10 anggota dari Balai Bomba Penyelamat Seremban 2 tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi setelah menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.07 minit pagi.
“Anggota bomba membuat ‘saiz up’ serta penilaian ke atas kenderaan dan mendapati mangsa tiada di tempat kejadian serta dibawa ke hospital. Selain itu, anggota bomba membuat kerja-kerja penyekatan dan pembersihan tumpahan minyak sawit dari lori tangki,” katanya. – UTUSAN ONLINE