MELAKA: Seorang doktor yang merawat pemuda terlibat kemalangan jalan raya terkejut menemui dadah dalam beg galas pesakitnya di Hospital Alor Gajah, dekat sini, Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Deputi Superintenden Mohd. Akmal Abdullah berkata, doktor berkenaan menemui satu ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja seberat 955 gram dan lima paket dadah jenis syabu seberat 65.95 gram disimpan dalam beg.
Menurut beliau, suspek berusia 27 tahun kini koma akibat cedera di kepala selepas terbabas sendiri di Kilometer 238 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan.
“Kemalangan tersebut berlaku pada hari sama sebelum doktor tersebut datang ke Balai Polis Alor Gajah kira-kira pukul 11.30 pagi untuk menyerahkan beg galas pesakit yang ada dadah.
“Harga anggaran dadah bernilai RM4,000,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Mohd. Akmal berkata, suspek belum ditangkap kerana dia masih koma dan dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban di Negeri Sembilan.
“Suspek telah menjalani pembedahan di kepala dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN