BACHOK: Cuti 1,500 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Kelantan dibekukan sebagai langkah awal menghadapi musim banjir di negeri ini.
Pengarah JPBM negeri, Md. Salleh Sarbini berkata, mereka yang terlibat adalah anggota tetap, sukarelawan dan anggota bantuan yang akan ditugaskan ke lokasi ditenggelami air pada bila-bila masa.
Katanya, semua aset JPBM Kelantan terdiri daripada 40 bot, 10 lori dan 22 kenderaan pacuan empat roda juga siap sedia digerakkan bagi membantu proses pemindahan mangsa banjir.
“Kita akan mendapat perkhidmatan udara iaitu sebuah helikopter Agusta 139 bagi memudahkan pemindahan mangsa banjir atau pesakit kronik sepanjang musim banjir terutama di pedalaman Gua Musang seperti Pos Bala dan Pos Brooke.
“Anggota yang bertugas membantu mangsa banjir telah menjalani simulasi sebelum ini termasuk cara memindahkan mangsa yang mempunyai gejala Covid-19,” katanya selepas pelancaran Pegawai Bomba Bantuan Safety Water dan Rescue Team (PBB SWART) dan Kesiapsiagaan Monson Timur Laut di Dataran Perahu Pantai Irama, di sini semalam.
Pelancaran PBB SWART melibatkan 24 Pegawai Bomba Bantuan Kelantan dan Terengganu disempurnakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin menerusi lintas langsung secara dalam talian antara Ibu Pejabat Bomba Putrajaya dan Pantai Irama Bachok.
Mengulas lanjut, menurut Md. Salleh, bekalan peralatan perlindungan diri (PPE) bagi kegunaan anggota JBPM ketika menyelamatkan mangsa yang bergejala Covid-19 sepanjang musim banjir ini adalah mencukupi. – UTUSAN ONLINE